Jutawan-jutawan Warren Buffett, dan Bill dan Melinda Gates melakar sejarah ketika mereka melancarkan Ikrar Pemberian, berjanji akan menyumbangkan separuh wang mereka. Sehingga 2018, mereka ini masing-masing sudah memberi sebanyak 92 bilion dolar Amerika. Ikrar itu membuat ahli psikologi, Paul Piff ingin tahu corak memberi. Melalui ujian penyelidikannya, dia mendapati bahawa orang miskin cenderung memberi 44 peratus lebih banyak daripada apa yang dimiliki mereka jika dibandingkan orang kaya. Mereka yang pernah mengalami kemiskinan sering tergerak untuk lebih bermurah hati.

Yesus mengetahui perkara ini. Semasa mengunjungi Rumah Tuhan, Dia memerhatikan orang ramai memasukkan wang pemberian ke dalam peti persembahan (Markus 12:41). Orang kaya memasukkan banyak wang, tetapi seorang balu yang miskin mengeluarkan dua keping mata wang tembaga terakhirnya, mungkin bernilai satu sen, dan memasukkannya ke dalam peti. Saya membayangkan Yesus berdiri, gembira dan tercengang. Dengan segera, Dia mengumpulkan pengikut-pengikut-Nya, memastikan mereka tidak terlepas melihat perbuatan yang mempesona itu. “Ketahuilah, balu yang miskin ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain,” kata Yesus (ayat 43). Pengikut-pengikut-Nya saling memandang, bingung, berharap seseorang dapat menjelaskan apa yang dikatakan Yesus. Oleh itu, Dia menjelaskan: “Semua orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka, tetapi balu ini, walaupun dia sangat miskin, memberikan segala yang ada padanya” (ayat 44).

Kita mungkin tidak dapat memberikan banyak, tetapi Yesus mengajak kita memberi daripada kekurangan kita. Walaupun kelihatannya sedikit bagi orang lain, kita memberikan apa yang kita miliki, dan Tuhan gembira terhadap pemberian kita yang murah hati.