Ketika Tee Unn dimasukkan ke hospital kerana penyakit autoimun yang telah menyerang daya tahan tubuh sehingga melemahkan semua ototnya dan hampir meragut nyawanya, dia menyedari bahawa dapat bernafas adalah satu kurnia. Selama lebih daripada seminggu, sebuah mesin mengepam udara ke dalam paru-parunya setiap beberapa saat, itulah bahagian rawatan yang paling menyakitkan.
Tee Unn pulih secara ajaib, dan hari ini dia mengingatkan dirinya untuk tidak mengeluh tentang cabaran hidup. “Aku akan tarik nafas dalam-dalam,” katanya, “dan berterima kasih kepada Tuhan.”
Betapa mudahnya untuk memusatkan perhatian pada perkara yang kita perlukan atau inginkan, dan lupa bahawa kadang-kadang perkara yang terkecil pun dalam hidup boleh menjadi keajaiban yang terbesar. Dalam penglihatan Yehezkiel (Yehezkiel 37:1–14), Tuhan menunjukkan kepada nabi ini bahawa hanya Dia yang dapat menghidupkan tulang kering. Bahkan setelah urat, otot, dan kulit muncul, “tetapi tubuh-tubuh itu belum bernafas” (ayat 8). Hanya ketika Tuhan membuatkan tubuh-tubuh itu bernafas, mereka dapat hidup kembali (ayat 10).
Penglihatan ini menggambarkan janji Tuhan untuk memulihkan umat Israel daripada kehancuran. Itu juga mengingatkan saya bahawa apa pun yang saya miliki, besar atau kecil, segalanya tidak berguna kecuali Tuhan memberi saya nafas.
Apa kata kita bersyukur kepada Tuhan atas berkat yang paling sederhana dalam kehidupan hari ini? Di tengah-tengah pergelutan sehari-hari, marilah sesekali berhenti untuk menarik nafas dalam-dalam, dan “Pujilah TUHAN, hai semua makhluk yang hidup” (Mazmur 150:6).
ILHAM
Dalam penglihatan Yehezkiel tentang tulang kering (Yehezkiel 37:1-14), dua perkataan yang berulang menjadikan seluruh gambaran jelas: tulang dan nafas. 2 perkataan ini membentukkan perbezaan antara apa yang dilihat oleh Yehezkiel dan apa yang dilakukan Tuhan. Perkataan tulang diulangi 12 kali dalam ayat-ayat ini. Pengulangan ini mencipta gambaran kematian yang jelas, tetapi bukan mereka yang mati baru-baru ini. Kematian yang ditunjukkan kepada Yehezkiel oleh Roh Tuhan adalah mereka yang telah lama mati—tiada kulit, otot, atau urat; tulang-tulang kering bertaburan di tanah lembah.Apa yang berkontras dengan tulang kering itu adalah janji dan kuasa nafas Tuhan yang dapat memusnahkan kematian. Apabila “tulang-tulang itu mula bersambung antara satu sama lain” (ayat 7) dan diliputi oleh otot dan urat, mereka masih belum hidup. Hanya apabila nafas Tuhan memasuki mereka, barulah mereka dapat hidup semula dan menjadi tentera sekali lagi.