Dalam sebuah iklan TV baru-baru ini, seorang wanita dengan santai bertanya kepada seseorang dalam kumpulan yang menonton TV, “Apakah yang kamu cari, Mark?” “Versi diri aku yang tidak membuat keputusan berdasarkan ketakutan,” dia menjawab dengan tenang—tanpa menyedari bahawa wanita itu hanya bertanya apa rancangan TV yang suka ditontonnya!
Wah, saya berfikir. Saya tidak menyangka bahawa iklan TV akan memberi kesan yang mendalam terhadap saya! Tetapi saya dapat memahami si Mark yang malang itu: kadang-kadang saya juga mempunyai pengalaman yang serupa kerana ketakutan kelihatannya mengarahkan hidup saya.
Pengikut-pengikut Yesus juga mengalami ketakutan yang mendalam. Ketika mereka menyeberang tasik Galilea (Markus 4:35), “angin kencang bertiup dan ombak melanda perahu” (ayat 37). Ketakutan mencengkam mereka, dan mereka mengatakan bahawa Yesus (yang sedang tidur!) mungkin tidak mempedulikan mereka: “Guru, tidakkah Guru peduli? Kita hampir tenggelam!” (ayat 38).
Ketakutan mengganggu penglihatan pengikut-pengikut itu, membutakan mereka terhadap niat baik Yesus untuk mereka. Setelah Dia menengking angin dan ombak (ayat 39), Kristus melontarkan dua pertanyaan yang tajam kepada pengikut-pengikut-Nya: “Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu masih belum percaya kepada-Ku?” (ayat 40).
Bukankah ribut yang kuat juga menimpa kehidupan kita? Tetapi pertanyaan Yesus dapat menolong kita memahami apa ketakutan kita. Pertanyaan pertama-Nya mengajak kita menamakan ketakutan kita. Kedua, mengundang kita mempercayakan perasaan-perasaan yang melumpuhkan itu kepada-Nya—memohon Dia agar kita dapat melihat bagaimana Dia membimbing kita walaupun melalui ribut kehidupan yang paling buruk.
ILHAM
Injil-injil memberitahu kita 2 waktu berlainan semasa Yesus meneduhkan ribut. Dalam Markus 4, Yesus sedang bersama dengan para pengikut, tetapi dia sudah tidur di dalam perahu. Walaupun mereka pernah melihat Dia melakukan mukjizat, para pengikut itu masih belum memahami maksud sepenuh tentang mukjizat-mukjizat itu, yang jelasnya mempamerkan kuasa Yesus ke atas semua keadaan.Kali kedua Yesus menenangkan laut (Markus 6:47-52), Dia tidak bersama dengan para pengikut itu. Dia “berjalan di atas air” semasa angin bertiup kencang dari arah berlawanan. Dalam kedua-dua kes, para pengikut berasa ketakutan—yang pertama kerana ribut yang berbahaya itu, yang kedua kerana mereka menyangka Yesus adalah hantu. Kisah-kisah yang dramatik ini menunjukkan bagaimana Tuhan membina iman para pengikut-Nya. Dia membenarkan mereka belayar ke keadaan yang menakutkan untuk menguatkan iman mereka.