Lebih daripada 200 sukarelawan membantu Oktober Books, sebuah kedai buku di Southampton, England, memindahkan semua barangnya ke bangunan baru di jalan itu. Para sukarelawan berbaris di laluan jalan dan mengedar buku melalui “rantaian manusia.” Setelah menyaksikan tindakan para sukarelawan itu, seorang kakitangan kedai berkata, “Ini sangat menyentuh hati apabila melihat ramai orang menolong. Mereka mahu menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar.”
Kita juga boleh menjadi sebahagian daripada sesuatu yang jauh lebih besar jika dibandingkan diri kita. Tuhan memakai kita untuk menjangkau dunia dengan perkhabaran kasih-Nya. Seseorang telah berkongsi Injil kepada kita, maka kita dapat berkongsinya kepada seseorang. Paulus membandingkan pembangunan Pemerintahan Tuhan dengan penanaman di ladang. Sebilangan kita menanam benih sementara sebahagian lain menyiramnya. Kita, seperti dikatakan Paulus, “orang yang bekerja bersama-sama untuk Allah” (1 Korintus 3:9).
Setiap pekerjaan adalah penting, namun semuanya dilakukan dengan kuasa Roh Tuhan. Dengan Roh-Nya, Tuhan memampukan orang bertumbuh secara rohani ketika mereka mendengar bahawa Dia mengasihi mereka, dan mengorbankan Anak-Nya supaya manusia dapat dibebaskan daripada dosa (Yohanes 3:16).
Tuhan melakukan banyak pekerjaan-Nya di bumi melalui “sukarelawan” seperti anda dan saya. Walaupun kita berada dalam komuniti yang jauh lebih besar daripada sebarang sumbangan yang dapat kita berikan, kita dapat bertumbuh dengan berkongsi kasih Tuhan kepada dunia ini bersama-sama.