Pada suatu tahun, gereja Ken menggunakan haiwan hidup untuk mengisahkan cerita Alkitab dalam kem sekolah minggu. Ketika Ken tiba untuk menolong, dia diminta untuk membawa seekor domba ke dalam gereja. Dia perlu menyeret binatang berbulu itu dengan tali ke gimnasium gereja. Tetapi beberapa hari kemudian, domba itu semakin senang untuk mengikutinya. Menjelang hujung minggu, Ken tidak perlu memegang tali lagi; dia hanya memanggil dan domba itu terus mengikutinya, kerana mengetahui Ken boleh dipercayai.
Dalam Perjanjian Baru, Yesus membandingkan diri-Nya dengan seorang gembala dan umat-Nya sebagai domba-Nya. Oleh sebab mereka mengenal suara-Nya, mereka mengikut-Nya. (Yohanes 10:4). Namun domba-domba yang sama itu akan lari daripada orang asing atau pencuri (ayat 5). Seperti domba, kita (anak-anak Tuhan) mengenal suara Gembala kita melalui hubungan kita dengan Dia. Dengan ini, kita melihat sifat-Nya dan belajar untuk mempercayai Dia.
Ketika kita semakin mengenal dan mengasihi Tuhan, kita akan mengecamkan suara-Nya dan lebih mampu lari daripada pencuri yang “datang hanya untuk mencuri, membunuh dan merosak” (ayat 10)—mereka yang berusaha menipu dan menarik kita daripada-Nya. Tidak seperti guru palsu, kita dapat mempercayai suara Gembala kita yang memberi kita keselamatan.