Cucu-cucu saya berlari di sekitar halaman belakang rumah saya. Bermain permainan? Bukan, mereka sedang mencabut lalang. “Mencabutnya dari akar!” kata si bongsu sambil menunjukkan “hadiahnya”—serumpun lalang yang besar. Kegembiraan cucu perempuan saya ini turut dirasakan ketika kami menikmati masa mencabut akar-akar lalang pada hari itu—membuang setiap ancaman serangga perosak yang menjengkelkan. Namun sebelum mengalami kegembiraan itu, semua lalang harus tercabut.
“Merumput” secara sengaja juga merupakan langkah pertama untuk menghapus dosa peribadi. Oleh itu, Daud berdoa, “Selidikilah aku, ya Allah, dan selamilah hatiku … Periksalah hatiku sama ada terdapat kejahatan dalam diriku (Mazmur 139:23–24).
Inilah langkah yang bijak, kita perlu meminta Tuhan mendedahkan dosa kita supaya kita dapat menghapusnya. Dia mengetahui segala-galanya tentang kita. “Ya TUHAN, Engkau telah menyelami hatiku, dan Engkau mengenal aku,” tulis pemazmur. “Engkau mengetahui segala perbuatanku; dari jauh Engkau memahami fikiranku” (ayat 1-2).
“Pengetahuan-Mu tentang diriku sangat dalam,” tambah Daud, “terlalu dalam bagi pengertianku” (ayat 6). Bahkan sebelum dosa berakar, Tuhan dapat mengingatkan kita akan bahayanya. Dia tahu hati kita yang bagaikan “padang rumput”. Oleh itu, apabila sikap berdosa yang licik cuba berakar, Dia yang pertama mengetahui dan mendedahkannya.
“Ke manakah aku dapat pergi untuk menjauhkan diri daripada-Mu?” tulis Daud. “ Ke manakah aku dapat lari dari hadirat-Mu?” (ayat 7). Semoga kita mengikuti Penyelamat kita dengan rapat!
ILHAM
Dalam Alkitab, kita membaca mengenai kemahatahuan Tuhan—pengetahuan-Nya mengenai segala perkara. Dalam 1 Samuel 2:3, Hana mengumumkan bahawa Dia adalah “Allah Yang Maha Tahu.” Dalam Mazmur 44:22, pemazmur itu berkata “Engkau mengetahui rahsia hati manusia.”Dalam Mazmur 139, Daud berasa kagum kerana Tuhan mengetahui setiap perbuatan dan fikirannya (ayat 1-4). Daud tidak menggigil dengan ketakutan, hati Daud penuh kekaguman apabila memikirkan bahawa Tuhan mempunyai pengetahuan yang begini dalam tentangnya (ayat 6). Kenapa? Kerana Daud mempunyai satu hubungan rapat dengan Tuhan—dia mengasihi Tuhan dan dia dikasihi Tuhan. Oleh itu, dia meminta Tuhan menyelidiki hatinya dan memimpinnya ke jalan yang abadi jika terdapat kejahatan dalam dirinya (ayat 23-24). Tuhan kita yang melihat semua dan mengetahui semua “tahu akan segala fikiran dan keinginan hati kita” (1 Tawarikh 28:9).