Ayah saya gemar menyanyikan lagu-lagu pujian lama. Salah satu kegemarannya bertajuk <i>“In the Garden”</i> (Di Taman). Beberapa tahun yang lalu, kami menyanyikan lagu tersebut dalam upacara pengebumiannya. Korus pujian itu ringkas. “Dia berjalan denganku, Dia berkata denganku bahawa aku milik-Nya, dan kegembiraan yang kita nikmati tiada bandingnya.” Lagu itu membawa kegembiraan kepada ayah saya dan saya.

Penulis lagu pujian itu, C. Austin Miles berkata bahawa dia menulis lagu ini pada musim bunga tahun 1912 setelah membaca Yohanes 20. “Ketika saya membacanya pada hari itu, saya seolah-olah menjadi sebahagian dalam peristiwa tersebut. Saya menjadi saksi bisu terhadap detik yang paling dramatik dalam hidup Maria apabila dia berlutut di hadapan Tuhan dan berseru, ‘Rabbuni [Guru]’ ” (ayat 16).

Dalam Yohanes 20, kita melihat Maria Magdalena menangis berhampiran dengan kubur Yesus yang kosong. Di sana dia bertemu dengan seorang lelaki yang bertanyakan sebab dia menangis. Maria menyangka orang itu tukang kebun, tetapi sebenarnya dia bercakap dengan Penyelamat yang sudah bangkit daripada kematian—Yesus! Dukacitanya bertukar menjadi sukacita, dan dia berlari untuk memberitahu para pengikut yang lain, “Aku telah melihat Tuhan!” (ayat 18, TB).

Kita juga mempunyai keyakinan bahawa Yesus sudah bangkit! Dia sekarang berada di syurga bersama Bapa, tetapi Dia tidak meninggalkan kita keseorangan. Orang yang percaya kepada Kristus mempunyai Roh-Nya di dalam kita, dan melalui-Nya kita ada keyakinan serta sukacita untuk mengetahui bahawa Dia menyertai kita, dan kita “milik-Nya”.