Keluarga saya tinggal di sebuah rumah yang berusia hampir satu abad dengan banyak ciri khususnya, termasuklah dinding plaster bertekstur yang istimewa. Seorang pembina rumah mengingatkan saya bahawa untuk menggantungkan gambar pada dinding sebegini, saya harus sama ada menggerudi lubang dan memasang paku ke dalam penyangga kayu atau menggunakan penambat plaster sebagai sokongan. Jika tidak, saya menghadapi risiko bahawa gambar akan jatuh terhempas ke lantai lalu meninggalkan satu lubang yang hodoh pada dinding.
Nabi Yesaya menggunakan gambar paku yang ditukul kuat ke dinding untuk menggambarkan seorang watak kecil dalam Alkitab yang bernama Elyakim. Berbeza dengan pengurus istana, Sebna yang tidak amanah (Yesaya 22:15–19), dan orang Israel yang bergantung pada kekuatan diri (ayat 8-11), Elyakim berharap kepada Tuhan. Ketika meramalkan kenaikan pangkat Elyakim sebagai pengurus istana untuk Raja Hizkia, Yesaya menulis bahawa kedudukan Elyakim akan dikukuhkan seperti “pasak penyangkut yang dipasang kuat” (ayat 23). Dengan bersauh teguh dalam kebenaran dan rahmat Tuhan, Elyakim juga dapat menjadi tiang sokongan bagi keluarga dan kaumnya (ayat 22-24).
Namun, Yesaya mengakhiri nubuat ini dengan peringatan yang tegas: tiada sesiapa boleh memberi perlindungan yang terjamin untuk sahabat atau keluarga— setiap kita adalah lemah (ayat 25). Satu-satunya sauh yang dapat dipercayai untuk hidup kita ialah Yesus (Mazmur 62:5–6; Matius 7:24). Sewaktu kita mengambil berat tentang orang lain dan berkongsi beban mereka, semoga kita juga menghalakan mereka kepada-Nya, sauh yang paling kukuh.