The Harvard Study of Adult Development (Kajian Harvard tentang Perkembangan Orang Dewasa), ialah projek puluhan tahun lamanya yang menghasilkan pemahaman yang lebih baik tentang kepentingan hubungan yang sihat. Penyelidikan ini bermula dengan 268 orang mahasiswa tahun kedua di Universiti Harvard pada tahun 1930-an dan kemudian bertambah kepada 456 orang penduduk di pusat bandar Boston. Para penyelidik telah melakukan temu bual dengan para peserta dan meneliti rekod perubatan mereka setiap beberapa tahun. Mereka mendapati bahawa hubungan erat merupakan faktor utama untuk menentukan kebahagiaan dan kesihatan. Rupanya jika kita dikelilingi oleh orang yang sesuai, kita berkemungkinan akan jauh lebih bersukacita.
Ini nampaknya menggambarkan apa yang dihuraikan oleh rasul Paulus dalam Filipi 1. Walaupun Paulus berada di penjara, dia masih menulis surat kepada sahabat-sahabatnya bahawa dia berterima kasih kepada Tuhan setiap kali dia teringat akan mereka, dan dia mendoakan mereka “dengan sukacita” (ayat 4). Mereka ini bukan hanya sahabat biasa; merekalah saudara dan saudari seiman dalam Yesus yang “turut mendapat kasih kurnia Allah” dan rakan sepelayanan Paulus yang berkongsi Injil (ayat 7, AVB). Hubungan mereka berpaksikan amalan berkongsi dan kepentingan bersama—persaudaraan sejati yang terjalin oleh kasih Tuhan dan Injil semata-mata.
Ya, sahabat adalah penting, tetapi teman seiman dalam Kristus menjadi pemangkin sukacita yang sejati dan sungguh-sungguh. Rahmat Tuhan sememangnya dapat mengikat hubungan kita dengan erat sekali. Walaupun kita menempuh musim-musim hidup yang gelap pekat, sukacita yang timbul daripada hubungan itu akan berkekalan.