Pada 28 Januari 1986, Challenger, iaitu bolak-balik angkasa lepas Amerika Syarikat telah meletup 73 saat sejurus berlepas. Pada masa itu, Presiden Reagan menyampaikan ucapan takziah bagi menghiburkan hati rakyat dengan memetik ungkapan daripada puisi “High Flight” (Terbang Mengawang) yang ditulis oleh John Gillespie Magee, seorang juruterbang Perang Dunia Kedua. Dalam puisi ini, Magee menyebut “kesucian ruang angkasa yang tidak dapat dicerobohi” dan dia seolah-olah dapat menghulurkan tangan dan menyentuh “wajah Tuhan.”
Sungguhpun kita tidak dapat betul-betul menyentuh wajah Tuhan, tetapi kita kadangkala dapat menyaksikan pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan atau merenungkan alam semula jadi yang memberi kita perasaan yang amat kuat bahawa Tuhan dekat dengan kita. Sesetengah orang menyebut saat-saat ini sebagai “tempat suci.” Pemisah di antara syurga dan bumi seolah-olah bertambah rapat. Rasanya Tuhan lebih dekat.
Orang Israel mungkin berada di “tempat suci” ketika mereka merasakan dekatnya Tuhan di padang gurun. Tuhan menyediakan awan pada siang hari dan api pada waktu malam untuk menuntun mereka melalui padang gurun (Keluaran 40:34–38). Ketika mereka tinggal di perkhemahan, “kemuliaan Tuhan memenuhi Khemah Suci” (ayat 35, AVB). Sepanjang perjalanan mereka, mereka tahu bahawa Tuhan menyertai mereka.
Semasa kita menikmati keindahan dalam ciptaan Tuhan yang mengagumkan, kita menyedari bahawa Dia hadir di mana jua. Ketika kita bercakap dengan Dia dalam doa, mendengarkan Dia, dan membaca Alkitab, kita dapat mengecapi keakraban dengan-Nya pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.