George Whitefield (1714–1770) adalah salah seorang pengkhutbah yang paling berbakat lagi efektif dalam sejarah. Di bawah bimbingannya, ribuan orang telah percaya kepada Yesus. Akan tetapi, hidupnya mendatangkan kontroversi. Amalan berkhutbah di tempat terbuka (untuk menampung kumpulan orang ramai) kadang-kadang dikritik oleh mereka yang mempersoalkan niatnya dan berpendapat bahawa dia seharusnya berkhutbah di dalam bangunan gereja sahaja. Tulisan pada batu nisan Whitefield menjelaskan tindak balasnya terhadap kata-kata tajam yang telah dilontarkan orang terhadapnya: “Aku akan menunggu dengan sabar sehingga Hari Pengadilan untuk membuktikan perwatakan aku; dan setelah aku meninggal, aku hanya menginginkan kata-kata berikut pada batu nisan: “Di sinilah bersemadinya George Whitefield—siapa jenis orangnya sewaktu hidup, akan dinyatakan pada Hari Pengadilan.’ ”

Dalam Perjanjian Lama, ketika Daud menghadapi kritikan keras daripada orang lain, dia juga mempercayakan dirinya kepada Tuhan. Apabila Saul melontarkan tuduhan palsu terhadap Daud bahawa dia memimpin pemberontakan, dia terpaksa bersembunyi di dalam sebuah gua daripada tentera Saul yang sudah mendekatinya, Daud menggambarkan dirinya berada di tengah-tengah singa pemakan manusia, di kalangan orang yang “gigi mereka seperti lembing dan anak panah, lidah mereka seperti pedang yang tajam” (Mazmur 57:5). Sekalipun di tempat yang sukar itu, dia berpaling kepada Tuhan dan menemukan penghiburan dalam Dia: “Kasih-Mu membumbung setinggi langit, kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi’ (ayat 11).

Ketika orang lain menyalahfahami atau menolak kita, Tuhanlah memberikan “perlindungan” kepada kita (ayat 2). Semoga Dia dipuji selama-lamanya kerana kasih setia dan belas kasihan-Nya!