Apabila penerbangan saya harus merentasi zon masa yang berbeza, saya mencuba pelbagai cara untuk mengelakkan lesu pesawat (jet lag). Rasanya saya telah mencuba semua cara! Saya pernah menyesuaikan masa makan dalam penerbangan dengan zon masa tempat yang saya tuju. Saya tidak makan malam seperti penumpang yang lain, sebaliknya saya terus menonton filem dan cuba tidur. Pilihan saya untuk tidak makan sangat mencabar dan sarapan pagi yang dihidangkan sebelum masa mendarat tidaklah membuka selera langsung. Akan tetapi, melakukan sesuatu yang berbeza dengan orang di sekitar saya itu berkesan. Ia telah dapat menyelaraskan masa jasmani saya ke zon masa yang baru.

Paulus tahu bahawa sekiranya orang yang percaya kepada Yesus benar-benar mahu mencerminkan Yesus dalam hidup, mereka hendaklah hidup tanpa mengikut kebiasaan dunia. Dahulu mereka “hidup dalam kegelapan” tetapi sekarang mereka “hidup dalam cahaya” (Efesus 5:8). Jadi, apakah rupanya? Paulus lantas memberikan gambarannya: “cahaya itulah yang menyebabkan orang melakukan segala sesuatu yang baik, adil, dan tulus” (ayat 9).

Tidur sewaktu makan malam mungkin kelihatan bodoh bagi penumpang lain dalam penerbangan saya, tetapi walaupun ada masa kegelapan di dunia, kita sebagai orang percaya dipanggil untuk hidup seperti anak-anak terang. Ini boleh mencetuskan ejekan dan tentangan, tetapi dalam Yesus hidup kita “harus dijiwai oleh kasih”, dengan mengikuti teladan Tuhan yang mengasihi kita. “Dia mengorbankan nyawa-Nya bagi kita, sebagai suatu persembahan yang harum dan korban yang menyenangkan hati Allah” (ayat 2).