Karen, seorang guru sekolah menengah mengadakan suatu aktiviti untuk mengajar murid-muridnya bagaimana lebih memahami antara satu sama lain. Dalam “Aktiviti Bagasi”, pelajar menulis beberapa beban emosi mereka. Catatan-catatan yang dikongsikan tanpa menulis nama menolong para pelajar menyelami kesukaran yang dihadapi masing-masing, kerap kali rakan-rakan sebaya itu menunjukkan respons dengan lelehan air mata. Sejak hari itu, para remaja kelas tersebut penuh rasa saling hormat yang mendalam dan kini juga semakin mempunyai rasa empati sesama sendiri.
Dalam seluruh Alkitab, Tuhan mendorong umat-Nya untuk memperlakukan satu sama lain dengan saling menghormati dan menunjukkan rasa empati dalam interaksi mereka dengan orang lain (Roma 12:15). Seawal sejarah Israel dalam kitab Imamat, Tuhan memerintah mereka untuk mengamalkan empati—terutama dalam hubungan mereka dengan orang asing. Dia berfirman kepada bangsa Israel, “kasihilah mereka seperti kamu mengasihi diri kamu sendiri” kerana mereka sendiri juga pernah hidup susah sebagai orang asing di Mesir (Imamat 19:34).
Kadangkala beban yang kita pikul membuat kita berasa seperti orang asing—kesunyian dan salah faham—bahkan oleh rakan sebaya kita. Kita tidak semestinya mempunyai pengalaman yang serupa seperti orang Israel dengan orang asing di kalangan mereka. Bagaimanapun, kita dapat memperlakukan orang yang ditempatkan Tuhan di sekeliling kita dengan hormat dan timbang rasa sebagaimana yang kita inginkan. Sama ada pelajar sekolah menengah zaman moden ini, seorang Israel atau sesiapa sahaja, kita menghormati Tuhan apabila kita berbuat sedemikian.