Ketika Beata mengenang bagaimana dia memaafkan Manasseh, lelaki yang membunuh suaminya dan beberapa orang anaknya dalam pembunuhan kaum di Rwanda, dia berkata, “Pengampunan aku berasal daripada apa yang telah dilakukan Yesus. Dia telah menanggung hukuman atas setiap perbuatan jahat sepanjang masa. Kayu salib-Nya tempat kita memperoleh kemenangan—satu-satunya tempat!” Manasseh telah berkali-kali menulis surat kepada Beata dari penjara untuk meminta pengampunannya dan Tuhan, selain menceritakan mimpi ngeri yang selalu menghantuinya. Pada mulanya Beata tidak dapat mengampuni Manasseh dan berkata bahawa dia sangat membencinya kerana telah membunuh keluarganya. Akan tetapi, dia teringat akan pengorbanan Yesus pada kayu salib dan dengan pertolongan Tuhan, dia mengampuni Manasseh dua tahun kemudian.
Dalam hal ini, Beata mengikuti ajaran Yesus kepada pengikut-pengikut-Nya tentang mengampuni orang yang bertaubat dan menyesali kejahatan mereka. Yesus berfirman, “Jika dia berdosa terhadap kamu tujuh kali dalam sehari dan tiap-tiap kali dia datang kepada kamu serta berkata, ‘Saya minta ampun,’ kamu harus mengampuninya” (Lukas 17:4). Bagaimanapun, memang amat sukar untuk mengampuni orang lain, sebagaimana yang kita lihat daripada reaksi para pengikut yang berkata, “Tuhan, teguhkanlah iman kami” (ayat 5).
Iman Beata bertambah teguh sewaktu dia bergelut dalam doa mengenai ketidakmampuannya untuk mengampuni orang lain. Sekiranya kita bergelut untuk mengampuni orang lain seperti Beata, kita boleh memohon pertolongan Tuhan melalui Roh Kudus-Nya. Apabila iman kita makin teguh, Dia akan menolong kita mengampuni orang lain.