Jason meraung-raung ketika ibu bapanya menyerahkannya kepada Amy. Inilah pertama kali anak berusia 2 tahun itu berada di bilik kanak-kanak ketika ibu dan ayahnya menghadiri kebaktian di gereja—dia tidak gembira. Amy meyakinkan mereka bahawa Jason akan baik-baik sahaja. Dia cuba memujuk Jason dengan barang mainan dan buku, membuaikannya di kerusi, mendukungnya berkeliling di bilik, berdiri dan memberitahu tentang keseronokan yang dapat dinikmatinya. Akan tetapi, semua itu cuma membuat Jason menangis lagi kuat. Amy kemudian membisikkan tiga patah perkataan yang sederhana ke telinga Jason: “Aku akan bersama-samamu.” Dengan segera Jason menjadi tenang dan lega, lalu dia berhenti menangis.
Yesus memberikan kata-kata penghiburan yang serupa kepada teman-teman-Nya pada minggu penyaliban-Nya: “Bapa akan memberi kamu Penolong lain, yang akan bersama-sama kamu selama-lamanya. Dia Roh Allah, yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah” (Yohanes 14:16-17). Setelah kebangkitan-Nya, Dia memberi mereka janji ini: “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman” (Matius 28:20). Yesus akan naik ke syurga tidak lama lagi tetapi Dia akan mengutus Roh untuk “bersama-sama” umat-Nya dan tinggal di dalam mereka.
Kita mengalami penghiburan dan kesejahteraan Roh Kudus sewaktu air mata kita mengalir. Kita menerima bimbingan-Nya semasa kita tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan (Yohanes 14:26). Dia bukan sahaja mencelikkan mata kita untuk lebih memahami Tuhan (Efesus 1:17-20), tetapi Dia juga menolong kita dalam kelemahan kita dan Dia berdoa untuk kita (Roma 8:26-27).
Dia bersama-sama kita untuk selama-lamanya.