Ada kalanya kata-kata kanak-kanak boleh mencabar kita untuk memahami lebih dalam tentang kebenaran Tuhan. Pada suatu petang ketika anak perempuan saya masih kecil, saya memberitahunya salah satu misteri terbesar iman Kristian iaitu Tuhan tinggal di dalam anak-anak-Nya melalui Anak-Nya dan Roh-Nya. Ketika menidurkan anak saya, saya berkata bahawa Yesus ada bersama dengan dia dan ada di dalamnya. “Ibu, Tuhan dalam perut sayakah?” tanyanya. “Kamu tidak menelan-Nya, tetapi Dia ada bersama dengan kamu” jawab saya.
Pengertian harfiah anak saya tentang Yesus berada “di dalam perutnya” membuat saya merenungkan saat saya meminta Yesus menjadi Penyelamat saya, datang dan tinggal di dalam saya.
Rasul Paulus merujuk kepada misteri ini ketika Dia berdoa agar Roh Kudus menguatkan orang percaya di Efesus supaya Kristus akan “tinggal di dalam hati [mereka], kerana [mereka] percaya kepada-Nya” (Efesus 3:17). Apabila Yesus tinggal di dalam kita, kita boleh memahami betapa dalamnya kasih Tuhan kepada kita. Melalui dorongan kasih ini, kita akan menjadi matang dalam iman kita dan mengasihi orang lain dengan rendah hati, serta lemah lembut ketika mengatakan kebenaran itu dalam kasih (4:2, 25).
Yesus tinggal di dalam hati para pengikut-Nya bererti bahawa kasih-Nya tidak pernah meninggalkan orang yang menerima-Nya dalam hidup mereka. Kasih-Nya yang melampaui pengetahuan (3:19) membuat kita berakar kepada-Nya dan menolong kita memahami betapa dalamnya Dia mengasihi kita.
Lagu pujian kanak-kanak yang dapat menonjolkan kebenaran tentang kasih Kristus dengan terbaik berbunyi: “Yesus sayang padaku!”