Pada abad ke-7, United Kingdom pada hari ini terbentuk oleh banyak kerajaan yang sering berperang. Apabila seorang raja, Oswald dari Northumbria, percaya kepada Yesus, dia memanggil seorang misionari membawa Injil ke wilayah itu. Seorang lelaki bernama Corman telah diutus tetapi tugas penginjilan tidak berjalan dengan lancar. Oleh sebab Corman berpendapat bahawa orang Inggeris “keras kepala”, “kasar” dan tidak berminat langsung terhadap khutbahnya, dia beredar pulang dengan kecewa.

“Saya berfikir bahawa kamu tidak patut bersifat begitu keras kepada pendengarmu yang tidak berpelajaran,” kata seorang rahib yang bernama Aidan kepada Corman. Corman sepatutnya memberi ajaran yang lebih mudah difahami, tetapi dia menyampaikan ajaran yang sukar. Kemudian, Aidan pergi ke Northumbria, mengubahsuaikan khutbahnya menurut pemahaman orang di situ dan ribuan orang pun percaya kepada Yesus.

Aidan menggunakan pendekatan yang peka terhadap keperluan orang daripada Alkitab. “Dahulu aku memberi kamu susu, bukan makanan orang dewasa,” kata Paulus kepada orang Korintus, “kerana kamu belum sedia menerimanya” (1 Korintus 3:2). Menurut kitab Ibrani, sebelum kita mengharapkan orang menjalani kehidupan yang benar, ajaran asas tentang Yesus, pertaubatan dan pembaptisan harus difahami (Ibrani 5:13-6:2). Walaupun kematangan rohani harus menyusul (5:14), biarlah kita mengikut susunan yang betul. Minum susu sebelum makan daging. Orang tidak dapat mematuhi ajaran yang tidak difahami mereka.

Iman orang Northumbria akhirnya tersebar ke seluruh negara mahupun ke seluruh dunia. Seperti Aidan, ketika berkongsi Injil dengan orang lain, kita bercakap dengan cara yang dapat difahami mereka.