Joe telah bekerja lebih daripada 12 jam sehari dan selalunya tidak berehat langsung. Sebegitu banyak masa dan tenaga dituntut untuk memulakan kerja amal sehingga dia tidak mempunyai banyak masa untuk menemani isteri dan anak-anaknya ketika dia pulang. Setelah Joe dimasukkan ke hospital akibat tekanan yang kronik, seorang rakannya menubuhkan sepasukan orang untuk membantunya. Walaupun dia amat keberatan untuk melepaskan kuasa pengurusan, Joe sedar bahawa dia tidak dapat meneruskan beban kerjanya. Dia bersetuju untuk mempercayai rakannya—dan Tuhan—sewaktu dia membahagikan tugas kepada sekumpulan orang yang dipilih mereka. Setahun kemudian, Joe mengakui bahawa badan amal dan keluarganya tidak mungkin menjadi makmur sekiranya dia menolak pertolongan yang diberikan Tuhan kepadanya.

Tuhan tidak merancang manusia untuk berkembang maju tanpa sokongan komuniti yang penyayang. Dalam Keluaran 18, Musa memimpin orang Israel melalui padang gurun. Dia berusaha melayani umat Tuhan seorang diri sebagai guru, penasihat dan hakim. Ketika bapa mertuanya, Yitro datang melawatnya, dia memberikan nasihat kepada Musa: “Kamu akan meletihkan dirimu dan juga semua orang itu. Tugas ini terlalu berat untuk kamu lakukan seorang diri” (Keluaran 18:18). Dia mendorong Musa untuk berkongsi beban kerja dengan orang yang setia. Musa menerima pertolongan dan seluruh masyarakat pun mendapat manfaat.

Apabila kita mempercayai bahawa Tuhan bekerja di dalam dan melalui semua umat-Nya yang berganding tangan, kita akan memperoleh kesejahteraan yang sejati.