Semasa Perang Saudara Amerika, Presiden Abraham Lincoln pernah ingin mengambil hati seorang ahli politik. Oleh itu, dia mengeluarkan arahan untuk memindahkan beberapa rejimen Tentera Kesatuan. Ketika Edwin Stanton, setiausaha perang menerima arahan tersebut, dia enggan melaksanakannya. Dia mengatakan bahawa presiden seorang yang bodoh. Apabila Lincoln diberitahu tentang kata-kata Stanton, dia menjawab: “Jika Stanton mengatakan aku ini bodoh, maka bodohlah aku, sebab dia memang selalu betul pada kebanyakan kalinya. Aku akan menanyakan sebab dia berkata demikian.” Selepas perbincangan mereka, presiden dengan segera menyedari bahawa keputusannya itu adalah satu kesilapan besar. Tanpa ragu-ragu, dia menarik balik perintahnya. Walaupun Stanton mengatakan bahawa Lincoln seorang yang bodoh, tetapi presiden itu membuktikan dirinya bijak dengan mengelakkan perbalahan ketika Stanton tidak bersetuju dengan dia. Sebaliknya, Lincoln menerima nasihat dan mengubah keputusannya.
Pernahkah anda menemui seseorang yang enggan mendengarkan nasihat bijak? (Lihat 1 Raja-Raja 12:1–11). Ia boleh saja menimbulkan kemarahan, bukan? Atau pernahkah anda sendiri enggan mendengarkan nasihat? Seperti yang dikatakan Amsal 12:15, “Orang bodoh selalu menganggap diri mereka betul, sedangkan orang bijak mendengarkan nasihat.” Kita tidak selalunya betul. Oleh sebab kita tahu bahawa setiap orang boleh melakukan kesalahan, maka hanya orang bodoh yang menganggap bahawa mereka tidak pernah berbuat salah. Marilah kita mempraktikkan hikmat daripada Tuhan dan menerima nasihat bijak daripada orang lain meskipun kita mungkin tidak setuju pada mulanya. Kadangkala inilah caranya Tuhan bekerja untuk kebaikan kita (ayat 2).