Selepas menjalani pembedahan kecil yang menyakitkan di sebelah kiri mata saya, doktor mencadangkan saya melakukan ujian penglihatan. Dengan yakin, saya menutup mata sebelah kanan dan membaca setiap baris perkataan pada carta dengan mudah. Namun, apabila saya menutup mata sebelah kiri, saya terkejut. Bagaimana mungkin saya tidak menyedari penglihatan saya yang begitu lemah?

Sementara saya menyesuaikan diri dengan cermin mata baru dan tahap penglihatan yang betul, saya terfikir tentang ujian hidup setiap hari yang selalu menjadikan saya rabun jauh secara rohani. Dengan memusatkan perhatian hanya kepada apa yang dapat saya lihat dari jarak dekat, iaitu kesengsaraan dan keadaan saya yang sentiasa berubah, saya menjadi buta terhadap kesetiaan Tuhan yang kekal dan tidak berubah. Dengan perspektif terhad, harapan menjadi kabur dan tidak dapat dicapai.

1 Samuel 1 menceritakan kisah seorang wanita yang gagal menyedari kebolehpercayaan terhadap Tuhan apabila dia memfokuskan kesedihan, ketidakpastian dan kehilangan yang dialaminya. Selama bertahun-tahun, Hana menderita kerana tidak dapat melahirkan anak dan menghadapi seksaan berterusan daripada isteri kedua suaminya, Penina. Suami Hana mencintainya tetapi dia tetap tidak berpuas hati. Suatu hari, dia berdoa dengan keluhan yang jujur di hadapan Tuhan. Ketika imam Eli bertanya, Hana menjelaskan situasi sebenarnya. Semasa beredar, dia memohon agar Tuhan mengabulkan doanya (1 Samuel 1:17). Walaupun keadaan Hana tidak berubah dengan serta-merta, tetapi dia pulang dengan harapan yang penuh keyakinan dalam hatinya (ayat 18).

Doanya dalam 1 Samuel 2:1–2 memperlihatkan satu pertukaran dalam fokus Hana. Bahkan sebelum situasinya diperbaiki, penglihatan Hana yang diperbaharui telah mengubah perspektif dan sifatnya. Dia terus bersukacita dalam hadirat Tuhan—Gunung Batu dan harapannya yang kekal.