Di Australia, laporan tentang “kisah suram” kemarau yang dahsyat dicatatkan. Menurut laporan itu, ia merupakan tahun yang mengerikan dengan curahan hujan yang sangat sedikit. Kebakaran besar-besaran berlaku sehingga ke kawasan luar bandar. Ikan tidak dapat hidup dan tanaman termusnah. Semua itu disebabkan oleh ketiadaan sumber yang sering dianggap mudah iaitu air, sumber yang kita perlukan untuk hidup.

Orang Israel mendapati diri mereka berada dalam dilema yang menggerunkan. Ketika umat itu berkhemah di padang gurun yang gersang dan berdebu, kita dapat membaca kata-kata yang membimbangkan: “mereka tidak mendapati air minum di sana” (Keluaran 17:1). Umat itu berada dalam ketakutan. Kerongkong mereka kering. Pasir mengeluarkan bunyi mendesis. Anak-anak mereka menderita kehausan. Disebabkan ketakutan, umat itu “bersungut-sungut terhadap Musa” untuk meminta air (ayat 2). Tetapi apakah yang dapat dilakukan oleh Musa? Dia hanya dapat datang kepada Tuhan.

Tuhan memberi Musa perintah yang pelik: “Bawa juga tongkat … Pukullah batu itu, maka air akan memancar untuk diminum orang” (ayat 5–6). Maka Musa memukul batu itu dan air keluar, lebih daripada cukup untuk memenuhi keperluan mereka dan ternakan mereka. Pada hari itu, orang Israel menyedari bahawa Tuhan mengasihi mereka. Tuhan mereka menyediakan air yang berkelimpahan.

Jika anda sedang mengalami musim kemarau atau padang gurun dalam kehidupan, sedarlah bahawa Tuhan mengetahui dan menyertai anda. Apa jua yang anda perlukan, semoga anda menemukan harapan dan kesegaran daripada air-Nya yang melimpah.