Anjing tua saya yang duduk di sebelah saya menengadah ke langit. Saya tidak tahu apa yang difikirkan oleh anjing itu. Satu hal yang saya pasti adalah anjing saya langsung tidak memikirkan kematian kerana anjing tidak “memahaminya.” Anjing tidak berfikir tentang hal-hal masa depan. Tetapi kita memikirkannya. Tidak kira usia, tahap kesihatan atau kekayaan kita, kita tetap memikirkan soal kematian. Menurut Mazmur 49:21, ini kerana kita memahami hal itu tetapi haiwan tidak. Kita tahu bahawa kita akan mati, dan tiada apa-apa yang mampu kita lakukan. “Tidak seorang pun dapat menebus dirinya; dia tidak dapat membayar harga tebusannya kepada Allah” (ayat 8). Sama ada lelaki atau perempuan, tiada seorang pun memiliki wang yang cukup untuk menebus dirinya keluar dari kubur.
Tetapi ada satu jalan keluar daripada kematian yang pasti berlaku: “Tetapi Allah akan menyelamatkan aku; Dia akan melepaskan aku daripada kuasa maut” kata Pemazmur dengan yakin (ayat 16). Secara harfiah, ia bermaksud “Dia akan menyambut aku ke syurga.” Penyajak Robert Frost berkata, “Rumah ialah tempat apabila anda sampai ke sana, mereka akan menyambut anda.” Tuhan telah menebus kita daripada kematian melalui Anak-Nya yang “telah menyerahkan diri-Nya untuk menyelamatkan manusia daripada dosa” (1 Timotius 2:6). Oleh itu, Yesus berjanji bahawa apabila tiba saatnya, Dia akan menyambut dan menjemput kita masuk ke rumah Bapa-Nya (Yohanes 14:3).
Apabila tiba saatnya, Yesus yang telah membayar harga penebusan hidup saya kepada Tuhan, akan menyambut kedatangan saya ke rumah Bapa-Nya dengan tangan yang terbuka.