Dengan cahaya matahari dan air yang mencukupi, bunga liar membentang luas dengan indahnya di kawasan-kawasan California, seperti Lembah Antelope dan Pergunungan Figueroa. Tetapi apakah yang berlaku ketika kemarau melanda? Para saintis telah menemukan bahawa bunga-bunga liar tertentu menyimpan kuantiti benih yang banyak di bawah tanah dan tidak membiarkannya keluar ke permukaan tanah. Selepas musim kemarau, tumbuhan tersebut menggunakan benih yang telah disimpan untuk bertumbuh semula.
Jumlah umat Israel pada zaman dahulu bertambah di tanah Mesir meskipun mengalami keadaan yang teruk. Ketua hamba abdi memaksa mereka bekerja di ladang dan membuat bata. Pengerah abdi yang tidak berhati perut menyuruh mereka membina keseluruhan kota bagi Firaun. Bahkan, raja Mesir cuba membunuh bayi-bayi bangsa Israel untuk mengurangkan bilangan mereka. Akan tetapi atas pertolongan Tuhan, “semakin keras orang Mesir menindas orang Israel, semakin banyak pula bilangan mereka” (Keluaran 1:12). Banyak pakar Alkitab menganggarkan bahawa populasi orang Israel iaitu lelaki, perempuan dan kanak-kanak bertambah kepada 2 juta (atau lebih) ketika mereka di Mesir.
Tuhan yang telah memelihara umat-Nya yang dahulu, juga menolong kita pada hari ini. Dia mampu menolong kita dalam apa pun keadaan. Mungkin kita berasa khuatir dengan hal-hal di hadapan kita, tetapi Alkitab memberi keyakinan bahawa Tuhan yang “menghiasi rumput di padang, yang ada hari ini lalu esoknya dibakar di dapur,” mampu menyediakan keperluan kita (Matius 6:30).
ILHAM
Sekitar tahun 1650 hingga 1550 SM, orang asing Semitik yang dikenal sebagai “raja gembala,” atau Hyksos oleh orang Mesir, mengambil alih dan memerintah bahagian utara Mesir, tempat orang Israel tinggal. Mungkin pengusiran para pemerintah ini pada sekitar 1540 SM yang menyebabkan kisah Keluaran. Pada zaman itu, sebuah dinasti “baru” dibentuk (Keluaran 1:8) dan menunjukkan kecurigaan yang besar terhadap saki-baki orang Semitik di Mesir. Firaun takut bahawa saki-baki Hyksos mungkin adalah “musuh” (ayat 10) yang akan bersekutu dengan orang Israel untuk menyerangnya.Penyelesaian Firaun adalah menindas orang Israel dengan cara-cara keras, bermula dengan kerja paksa dalam projek pembinaan pada dinasti itu (ayat 11). Oleh sebab satu-satunya batu yang tersedia di Mesir dapat ditemukan di bahagian negara yang paling selatan, orang Israel diberikan tugas keras untuk membuat bata dengan tanah liat yang dicampurkan dengan bahan jerami (ayat 14). Pada cuaca yang kering dan panas di Mesir, bata ini agak kuat setelah kering.