Pada tahun 2019, seorang pendaki melihat matahari terbit buat kali terakhir dari puncak Gunung Everest. Dia terselamat dalam pendakian yang berbahaya, tetapi tekanan udara yang menurun menyebabkan gangguan pada jantungnya, dan dia meninggal semasa menuruni gunung. Seorang pakar perubatan memberi amaran kepada para pendaki agar tidak hanya memikirkan puncak sebagai akhir perjalanan mereka. Mereka mesti mendaki dan menuruni secepat mungkin kerana “mereka berada di Zon Kematian.”
Daud juga pernah berjaya mendaki ke puncak gunung kejayaan yang bahaya. Dia membunuh singa dan beruang, mengalahkan Goliat, mengelakkan tombak dan tentera raja Saul yang mengejarnya, serta menakluki orang Filistin dan Amon untuk menjadi raja.
Tetapi Daud lupa bahawa dia berada di zon kematian. Di puncak kejayaannya, ketika “TUHAN memberi Raja Daud kemenangan di mana sahaja baginda berperang” (2 Samuel 8:6), dia melakukan perzinaan dan pembunuhan. Apakah kesalahan awalnya? Dia berlambat-lambat di puncak gunung. Ketika tenteranya menghadapi cabaran baru, dia “tinggal di Yerusalem” (11:1). Daud pernah secara sukarela menentang Goliat; tetapi sekarang dia bersantai dalam kemenangannya yang mendapat sanjungan.
Sukar untuk bersikap rendah hati ketika semua orang termasuk Tuhan mengatakan bahawa anda istimewa (7:11–16). Tetapi kita tidak harus bersikap sedemikian. Jika kita telah mencapai kejayaan, kita mungkin meraikan kejayaan itu dengan cara yang wajar dan menerima pujian, tetapi kita harus terus maju. Kita berada di zon kematian. Turunlah dari gunung. Miliki sikap rendah hati untuk melayani orang lain di lembah serta memohon Tuhan menjaga hati dan langkah anda.