Saya berlutut dan membiarkan air mata jatuh berderai. Saya berseru kepada Tuhan, “Tuhan, mengapa Engkau tidak menjaga aku?” Masa itu berlaku ketika pandemik COVID-19 pada tahun 2020. Saya telah diberhentikan kerja selama hampir sebulan dan saya menghadapi masalah untuk mengisytiharkan status pengangguran saya. Maka saya belum menerima bantuan wang kerajaan Amerika Syarikat yang dijanjikan. Di lubuk hati, saya percaya bahawa Tuhan akan menyelesaikan segalanya. Saya yakin bahawa Dia benar-benar mengasihi dan menjaga saya. Tetapi pada ketika itu, Tuhan seolah-olah meninggalkan saya.

Kitab Ratapan mengingatkan kita bahawa tidak salah untuk meratap. Kitab itu kemungkinan ditulis semasa atau sejurus selepas orang Babilonia memusnahkan kota Yerusalem pada tahun 587 SM. Ini menggambarkan penderitaan (3:1, 19), penindasan (1:18), dan kebuluran (2:20; 4:10) yang dihadapi orang ketika itu. Akan tetapi di bahagian tengah kitab tersebut, penulis mengingati sebabnya dia masih mampu untuk berharap: “Kasih TUHAN abadi dan rahmat-Nya tidak berkesudahan; selalu baru setiap pagi, sesungguhnya Dia setia! (3:22–23). Di sebalik kehancuran hati, penulis mengingat bahawa Tuhan tetap setia.

Kadangkala terasa mustahil untuk mempercayai bahawa “TUHAN itu baik bagi orang yang menanti-nantikan Dia, bagi jiwa yang mencari hadirat-Nya” (ayat 25), terutamanya ketika kita tidak melihat berakhirnya penderitaan kita. Tetapi kita dapat berseru kepada-Nya, percaya bahawa Dia mendengar doa kita, dan akan setia menolong kita.