Saya mengetahui tentang Catherine Hamlin, seorang pakar bedah Australia yang luar biasa selepas membaca berita kematiannya. Di Etiopia, Catherine dan suaminya mendirikan satu-satunya hospital di dunia untuk merawat wanita yang menderita trauma fizikal dan emosi yang teruk kerana obstetrik fistula, iaitu kecederaan yang biasa berlaku kepada wanita semasa mereka melahirkan anak di negara-negara sedang membangun. Disebabkan oleh usaha dan penyeliaan Catherine, lebih daripada 60,000 wanita telah menerima rawatan.

Hamlin masih bekerja di hospital ketika berusia 92 tahun. Dia memulakan rutin hariannya dengan secawan teh dan pembelajaran Alkitab. Apabila ditanya, dia mengatakan bahawa dia hanya orang biasa yang percaya kepada Yesus dan melakukan pekerjaan yang dipercayakan Tuhan kepadanya.

Saya bersyukur kerana mengetahui tentang orang yang luar biasa ini. Hidupnya yang terdorong oleh Alkitab menjadi teladan saya, sehingga orang yang menolak Tuhan “terpaksa mengakui perbuatan kamu yang baik, dan memuji Allah” (1 Petrus 2:12).

Kuasa Roh Tuhan yang memanggil kita keluar daripada kegelapan rohani supaya menjalinkan hubungan dengan Dia (ayat 9), juga dapat mengubah pekerjaan atau bidang pelayanan kita kepada kesaksian iman. Apa pun bentuk kurnia atau kemahiran yang dianugerahkan Tuhan kepada kita, kita dapat memahami tujuan dan makna yang mendalam apabila melakukan semuanya dengan penuh kuasa untuk membawa orang datang kepada-Nya.