Alan datang meminta nasihat saya tentang cara menangani ketakutannya untuk berpidato. Seperti kebanyakan orang, hatinya akan mula berdegap-degup, mulutnya akan terasa melekit serta kering, dan mukanya akan menjadi merah. “Glosofobia” merujuk kepada ketakutan sosial yang paling biasa dihadapi orang—malah ramai orang bergurau bahawa mereka lebih takut berpidato daripada mati! Untuk membantu Alan mengatasi rasa takutnya yang menyebabkan dia tidak dapat berpidato dengan baik, saya mencadangkan dia berfokus pada kandungan pidatonya, bukan “persembahan“ yang akan disampaikannya di pentas.
Pengalihan fokus kepada apa yang akan disampaikan daripada kebolehan menyampaikan sesuatu adalah seperti pendekatan Paulus untuk mengarahkan orang lain kepada Tuhan. Apabila dia menulis kepada jemaah di Korintus, dia mengatakan bahawa pengajarannya dan perkhabaran Berita Baik bukan dengan “kata-kata menurut kebijaksanaan manusia” (1 Korintus 2:4). Sebaliknya, dia bertekad untuk memfokuskan kebenaran mengenai Yesus Kristus dan kematian-Nya pada kayu salib (AYAT 2), dengan penuh kepercayaan bahawa Roh Kuduslah yang memperkasakan kata-katanya, bukan kepetahannya sebagai pemidato.
Apabila kita mengenal Tuhan secara peribadi, kita mahu berkongsi tentang-Nya dengan orang di sekeliling kita. Namun demikian, kadangkala kita mengelakkan diri daripada berbuat demikian kerana kita takut tidak menyampaikannya dengan baik—dengan kata-kata yang “betul” atau fasih bercakap. Dengan memfokuskan “apa”—kebenaran tentang siapa itu Tuhan dan pekerjaan-Nya yang menakjubkan—kita boleh mempercayai Tuhan untuk memperkasakan kata-kata kita dan berkongsi tanpa rasa takut atau ragu-ragu, seperti Paulus.