Pengkhutbah Inggeris Charles H. Spurgeon (1834-1892) hidup “dengan seluruh jiwa raganya”. Dia menjadi pastor pada usia 19 tahun dan tidak lama kemudian berkhutbah kepada orang ramai. Dia telah menyunting kesemua khutbahnya yang akhirnya memenuhi 63 jilid, dan menulis banyak ulasan Alkitab, buku tentang doa serta karya-karya lain. Dia juga lazimnya membaca 6 buah buku setiap minggu! Dalam salah satu khutbahnya, Spurgeon berkata, “Orang yang tidak berbuat apa-apa dianggap melakukan dosa yang terbesar, kerana ia akan mewujudkan dosa-dosa lain … Kemalasan sungguh mengerikan! Kiranya Tuhan menyelamatkan kita daripadanya!”
Charles Spurgeon tekun hidup, ini bermaksud dia berusaha sebaik-baiknya (2 Petrus 1:5) untuk bertumbuh dalam rahmat Tuhan dan hidup demi Dia. Jika kita pengikut Kristus, Tuhan boleh menyemai keinginan dan keupayaan yang sama dalam kita untuk bertumbuh dan semakin menyerupai Yesus, di samping “berusahalah untuk membekalkan iman [kita] dengan kebaikan, dan kebaikan dengan pengetahuan; … penguasaan diri; … ketabahan; … kesalihan” (AYAT 5-7 AVB).
Kita masing-masing mempunyai tahap motivasi, kebolehan dan tenaga yang berbeza—bukannya kesemua kita dapat atau seharusnya hidup mengikut rentak Charles Spurgeon. Tetapi apabila kita memahami segala yang telah dilakukan Yesus demi kita, timbullah motivasi terbesar dalam diri kita untuk tekun hidup dengan setia. Lagipun, kita memperoleh kekuatan melalui sumber yang telah diberikan Tuhan agar kita hidup dan melayani-Nya. Tuhan dapat memberi kita kuasa untuk melakukan perkara yang besar mahupun kecil melalui Roh-Nya.