Apabila Franz Jägerstätter dikerah berkhidmat dalam tentera oleh pihak Nazi semasa Perang Dunia Kedua, dia telah menyelesaikan latihan asas ketenteraan tetapi menolak untuk mengangkat sumpah kesetiaan peribadi kepada Adolf Hitler. Pihak berkuasa membenarkan Franz kembali ke ladangnya, tetapi kemudian mengarahkannya untuk berkhidmat sepenuh masa dalam angkatan tentera. Setelah memahami ideologi Nazi dan mengetahui pembunuhan bangsa Yahudi secara beramai-ramai, Jägerstätter memutuskan bahawa kesetiaannya kepada Tuhan bermaksud dia sama sekali tidak boleh berjuang bagi pihak Nazi. Dia ditangkap dan dijatuhi hukuman mati, meninggalkan isteri dan tiga orang anak perempuannya.

Sepanjang sejarah, ramai orang yang percaya kepada Yesus—walaupun menghadapi risiko kematian—telah menolak dengan tegas apabila diperintahkan untuk mengingkari Tuhan. Kisah Daniel merupakan salah satunya. Ketika perintah kerajaan mengancam bahawa sesiapa yang “meminta apa-apa daripada dewa atau manusia kecuali daripada [raja] sendiri” (Daniel 6:13) akan dibuang ke dalam gua singa, Daniel mengabaikan keselamatannya dan tetap setia. “Seperti biasanya, Daniel berlutut di hadapan tingkap-tingkap yang terbuka itu, lalu berdoa kepada Allah tiga kali sehari” (AYAT 11). Nabi itu tetap berlutut di hadapan Tuhan—dan hanya di hadapan-Nya—tanpa mengira akibat pengingkaran perintah raja.

Kadangkala, pilihan kita adalah jelas. Sungguhpun semua orang di sekeliling kita meminta kita mengikut pendapat umum—walaupun reputasi kita sendiri atau kesejahteraan kita mungkin diancam—mudah-mudahan kita akan terus mentaati Tuhan. Kadangkala, apa yang harus kita lakukan adalah menolak dengan tegas, walaupun dengan pengorbanan yang besar.