Semasa suatu ribut petir, saya dan anak perempuan saya yang berumur 6 tahun duduk di atas lantai sambil menyaksikan dan mengagumi kilat sabung-menyabung melalui pintu kaca. Dia berulang kali mengatakan, “Wah, besarnya Tuhan!” Saya juga merasakan begitu. Ternyatalah bagi kami berdua, kehebatan Tuhan menunjukkan betapa kecilnya kami. Ayat-ayat dalam kitab Ayub terlintas dalam fikiran saya, “Pernahkah engkau pergi ke tempat matahari terbit, ataupun ke tempat asal angin timur?” (Ayub 38:24).
Ayub perlu diingatkan tentang kuasa Tuhan (AYAT 34-41). Kehidupannya telah hancur berkecai. Anak-anaknya meninggal. Dia kehabisan wang. Dia jatuh sakit. Rakan-rakannya tidak menunjukkan rasa empati terhadapnya. Isterinya pula mendorong dia meninggalkan imannya (2:9). Akhirnya Ayub bertanya kepada Tuhan, “Mengapa?” (fasal 24) dan Dia membalas Ayub dari angin ribut (fasal 38).
Tuhan mengingatkan Ayub bahawa Dialah penguasa atas segala ciri fizikal dunia (fasal 38). Ini menenangkan Ayub dan dia menjawab, “Dahulu aku hanya mendengar tentang Engkau, tetapi kini aku sendiri melihat Engkau” (42:5). Dengan kata lain, “Sekarang aku faham, Tuhan! Aku tahu bahawa Engkau sama sekali tidak seperti apa yang pernah aku jangkakan.”
Apabila hidup kita hancur berkecai, kadang-kadang perbuatan yang dapat menenangkan kita adalah baring di atas lantai sambil menyaksikan pancaran kilat—supaya kita diingatkan bahawa Tuhan yang telah menciptakan dunia adalah cukup berkuasa dan penyayang untuk menjaga kita. Bahkan kita boleh mula menyanyikan lagu pujian kegemaran kita yang menyatakan tentang kekuasaan dan kebesaran Tuhan kita.