Walaupun saya dan rakan sekelas sekali-sekala ponteng kuliah universiti, semua orang memastikan mereka menghadiri kuliah terakhir Profesor Chris sebelum peperiksaan akhir tahun. Waktu itulah dia akan memberi petua tentang soalan-soalan peperiksaan yang akan dibuatnya.

Saya selalu tertanya-tanya mengapa dia berbuat demikian, sehingga saya sedar bahawa Profesor Chris mahu kami melakukannya dengan baik. Dia mempunyai standard yang tinggi, tetapi dia akan menolong kami memenuhinya. Kami hanya perlu datang dan mendengar supaya dapat bersedia dengan baik.

Saya terfikir bahawa begitulah juga dengan Tuhan. Tuhan tidak akan bertolak ansur dengan standard-Nya, tetapi kerana Dia sangat menghendaki kita menjadi seperti Yesus, maka Dia memberi kita Roh Kudus untuk menolong kita memenuhi standard tersebut.

Dalam Yeremia 3:11–14, Tuhan menggesa umat Israel yang tidak setia agar mengakui kesalahan mereka dan kembali kepada-Nya. Tetapi oleh sebab Dia mengetahui betapa degil dan lemahnya mereka, maka Dia menolong mereka. Dia berjanji untuk membawa mereka yang sesat kembali kepada Tuhan (ayat 22), dan mengutus para gembala untuk mengajar dan membimbing mereka (ayat 15).

Alangkah menghiburkan sekali apabila mengetahui bahawa tidak kira seberapa besar dosa kita atau seberapa jauh kita berpaling daripada Tuhan, Dia sedia memulihkan kepercayaan kita! Yang perlu kita lakukan hanyalah mengakui perbuatan kita yang salah dan membiarkan Roh Kudus-Nya mengubah hati kita.