Saya menulis surat kepada anak-anak kami ketika mereka meningkat remaja. Dalam salah satu surat, saya menyebut identiti kita dalam Kristus, ia mengingatkan saya tentang zaman remaja saya. Saya orang yang kurang yakin. Saya perlu mengingatkan diri bahawa saya anak Tuhan yang dikasihi-Nya. Saya berkata dalam surat, “Dengan mengetahui siapa identiti kamu, kamu akan mengetahui kamu milik Siapa.” Apabila kita memahami bahawa Tuhan telah menciptakan kita dan kita bertekad untuk mengikut-Nya, maka kita dapat berdamai dengan Pencipta kita. Kita juga tahu bahawa Dia mengubah kita lebih menyerupai Yesus setiap hari.
Dasar identiti kita sebagai anak-anak Tuhan boleh ditemukan dalam Ulangan 33:12: “Inilah suku yang dikasihi dan dilindungi oleh TUHAN; Dia menjaga mereka sepanjang masa, Dia tinggal di tengah-tengah mereka.” Sebelum Musa meninggal, dia menyampaikan berkat ini ke atas suku Benyamin semasa umat Tuhan yang bersedia memasuki tanah yang dijanjikan Tuhan. Tuhan mahu mereka sentiasa ingat bahawa mereka ialah umat kesayangan-Nya dan tetap yakin dalam identiti mereka sebagai anak-anak-Nya.
Mengetahui identiti kita sebagai anak-anak Tuhan sama pentingnya bagi semua orang, sama ada remaja, orang pertengahan usia, dan warga emas. Apabila kita memahami bahawa Tuhan mencipta dan menjaga kita, kita dapat menemukan kedamaian, harapan dan kasih.