Ketika mubaligh berbangsa Sweden, Eric Lund mendapat panggilan Tuhan untuk pergi ke Sepanyol dan melakukan pekerjaan misi pada akhir tahun 1890-an, dia segera mentaatinya. Walaupun pelayanan tidak kelihatan berkesan, dia bertahan kerana keyakinannya terhadap panggilan Tuhan. Suatu hari, dia bertemu dengan seorang lelaki Filipina, Braulio Manikan, dan berkongsi Injil kepadanya. Lund dan Manikan menterjemahkan Alkitab ke dalam bahasa Filipina tempatan dan memulakan stesen misi gereja Baptis yang pertama di Filipina. Disebabkan Lund menyahut panggilan Tuhan seperti nabi Yesaya, hasilnya ramai orang percaya kepada Yesus.
Dalam Yesaya 6:8, Tuhan bertanya siapa yang rela untuk pergi ke Israel mengisytiharkan penghakiman-Nya untuk masa sekarang dan harapan untuk masa depan. Yesaya menawarkan diri dengan berani: “Inilah aku. Utuslah aku!” Dia tidak menyangka dia layak untuk menyahut panggilan Tuhan sebelum ini: “Tiap-tiap perkataanku itu dosa” (ayat 5). Tetapi dia menjawab dengan hati yang rela kerana dia menyaksikan kekudusan Tuhan, mengakui dosanya, dan menerima penyucian daripada Tuhan (ayat 1-7).
Adakah Tuhan memanggil anda melakukan sesuatu untuk Dia? Adakah anda enggan melakukannya? Jika demikian, ingatlah semua yang telah dilakukan Tuhan melalui kematian dan kebangkitan Yesus. Dia telah memberi kita Roh Kudus untuk menolong dan membimbing kita (Yohanes 14:26; 15:26–27), dan Dia akan mempersiapkan kita untuk menjawab panggilan-Nya. Seperti Yesaya, marilah kita menjawab, “Utuslah aku!”