Saya memeranjatkan isteri saya dengan memberinya tiket konsert bagi persembahan seorang penyanyi yang selalu diminatinya. Nyanyian itu diiringi oleh Orkestra Simfoni Colorado. Konsert itu diadakan di Red Rocks, iaitu sebuah amfiteater terbuka yang dibina di antara dua formasi batuan setinggi 91 meter lebih daripada 1,828 meter di atas permukaan laut. Orkestra itu memainkan sejumlah lagu klasik dan lagu rakyat yang digemari ramai. Lagu terakhir yang dimainkan ialah lagu pujian klasik yang disusun semula, “Sungguh Besar Anugerah-Mu”. Susunan muzik yang indah dan harmoni itu amat menakjubkan!
Ada sesuatu yang indah mengenai keharmonian, iaitu setiap instrumen dimainkan seiring dengan cara yang menghasilkan seni bunyi yang lebih kuat dan beralunan. Rasul Paulus menunjukkan keindahan keharmonian itu ketika dia mengatakan kepada jemaah di Filipi agar mereka “hidup seia sekata, saling mengasihi dengan kasih yang sama dan mempunyai fikiran serta tujuan yang sama” (Filipi 2:2). Dia tidak meminta mereka menjadi serupa, tetapi memiliki sikap rendah hati dan kasih Yesus yang rela berkorban. Seperti yang difahami dan diajarkan oleh Paulus. Injil tidak memadamkan perbezaan antara kita, tetapi dapat menghapuskan perpecahan.
Menariknya, ramai cendekiawan Alkitab percaya bahawa kata-kata Paulus di sini (ayat 6-11) adalah pendahuluan bagi lagu pujian zaman awal. Inilah intinya: Apabila kita membiarkan Roh Kudus bekerja melalui kehidupan dan situasi kita yang berbeza, ia menjadikan kita lebih menyerupai Yesus, kita bersama-sama akan menjadi simfoni yang mengumandangkan kasih Kristus yang rendah hati.