Ketika Peter Croft memperingati karya datuknya, dia menulis, “Inilah keinginanku yang terdalam bagi orang yang membaca Alkitab, tidak kira apa pun versi, mereka tidak hanya memahaminya malahan merasakan penulisan suci itu sebagai dokumen yang hidup. Kandungannya meliputi unsur relevan, amaran, bahagian menarik pada masa sekarang seperti dibacanya pada ribuan tahun yang lalu.” J. B. Phillips, iaitu datuk kepada Peter, adalah seorang pastor belia yang menghasilkan Alkitab versi parafrasa baru dalam bahasa Inggeris semasa Perang Dunia II agar firman Tuhan menjadi hidup dan relevan dalam kalangan pelajar di gerejanya.
Seperti para pelajar Phillips, kita juga menghadapi cabaran untuk membaca dan memahami Alkitab, tidak semestinya disebabkan oleh versi Alkitab yang kita miliki. Kita mungkin kekurangan masa, disiplin atau bahan yang tepat untuk memahaminya. Namun, Mazmur 1 mengatakan bahawa “Berbahagialah orang yang … suka mentaati Taurat TUHAN” (ayat 1-2). Merenungkan firman Tuhan setiap hari memungkinkan kita “berjaya” dalam semua musim hidup, tidak kira apa pun kesusahan yang kita hadapi.
Bagaimanakah anda menanggapi Alkitab anda? Alkitab masih relevan dengan kehidupan masa kini, dan menggesa orang untuk mempercayai dan mengikut Yesus. Ia masih menarik dari segi pengetahuan mendalam tentang Tuhan dan umat manusia. Firman Tuhan umpama aliran air (ayat 3, TB) menyediakan apa yang kita perlukan setiap hari. Hari ini, mari kita lebih bersemangat meluangkan masa, mendapatkan bahan kerohanian yang tepat, dan meminta Tuhan menolong kita untuk menghayati Alkitab sebagai dokumen yang hidup.
ILHAM
Dalam Mazmur 1, jalan orang salih dan jalan orang jahat telah dibezakan dengan jelas. Pemazmur itu mengunakan perkataan “berjalan”, “berdiri” dan “duduk” untuk menghuraikan jalan orang jahat (ayat 1, TB). Sesetengah cendekiawan Alkitab percaya bahawa ini menggambarkan keakraban dengan orang jahat. Semakin kerap berhubung dengan orang jahat, semakin besar kemungkinan untuk berbuat dosa: jahat, berdosa, dan menghina Tuhan. Orang jahat bukan sahaja berbuat dosa, malahan menghina orang salih.Sebaliknya, mereka yang salih bergembira dalam Taurat Tuhan dan digambarkan sebagai “berbahagia.” Mereka suka hikmat Tuhan; hikmat Tuhan memenuhi fikiran mereka sepanjang hari, ini mengingatkan kita tentang perintah kepada Yosua untuk “kajilah kitab itu siang dan malam” (Yosua 1:8). Dengan gaya metafora, pemazmur itu kemudian menghuraikan makna “berbahagia.” Mereka yang berbahagia ibarat sepohon pokok yang bertumbuh kuat dan menghasilkan buah yang baik dan sihat: “mereka berjaya dalam segala usaha” (Mazmur 1:3).