Ketika Peter Croft memperingati karya datuknya, dia menulis, “Inilah keinginanku yang terdalam bagi orang yang membaca Alkitab, tidak kira apa pun versi, mereka tidak hanya memahaminya malahan merasakan penulisan suci itu sebagai dokumen yang hidup. Kandungannya meliputi unsur relevan, amaran, bahagian menarik pada masa sekarang seperti dibacanya pada ribuan tahun yang lalu.” J. B. Phillips, iaitu datuk kepada Peter, adalah seorang pastor belia yang menghasilkan Alkitab versi parafrasa baru dalam bahasa Inggeris semasa Perang Dunia II agar firman Tuhan menjadi hidup dan relevan dalam kalangan pelajar di gerejanya.

Seperti para pelajar Phillips, kita juga menghadapi cabaran untuk membaca dan memahami Alkitab, tidak semestinya disebabkan oleh versi Alkitab yang kita miliki. Kita mungkin kekurangan masa, disiplin atau bahan yang tepat untuk memahaminya. Namun, Mazmur 1 mengatakan bahawa “Berbahagialah orang yang … suka mentaati Taurat TUHAN” (ayat 1-2). Merenungkan firman Tuhan setiap hari memungkinkan kita “berjaya” dalam semua musim hidup, tidak kira apa pun kesusahan yang kita hadapi.

Bagaimanakah anda menanggapi Alkitab anda? Alkitab masih relevan dengan kehidupan masa kini, dan menggesa orang untuk mempercayai dan mengikut Yesus. Ia masih menarik dari segi pengetahuan mendalam tentang Tuhan dan umat manusia. Firman Tuhan umpama aliran air (ayat 3, TB) menyediakan apa yang kita perlukan setiap hari. Hari ini, mari kita lebih bersemangat meluangkan masa, mendapatkan bahan kerohanian yang tepat, dan meminta Tuhan menolong kita untuk menghayati Alkitab sebagai dokumen yang hidup.