Hari Jumaat merupakan hari pasar di luar bandar Ghana, tempat yang saya dibesarkan. Walaupun sudah bertahun-tahun, saya masih ingat tentang seorang penjual. Jari-jari dan ibu jari kakinya terhakis oleh penyakit Hansen (kusta), dia akan berjongkok di tikarnya dan mencedok hasil tanamannya dengan labu yang berlekuk. Ada yang menghindari wanita itu. Ibu saya membeli barang secara tetap daripadanya. Saya melihat dia hanya pada hari pasar. Kemudian dia akan menghilang di luar bandar.

Pada zaman Israel kuno, orang yang menghidapi penyakit seperti kusta harus tinggal “di luar perkhemahan.” Keadaan mereka amat memilukan. Peraturan-peraturan Israel mengatakan orang seperti itu mesti “terasing daripada orang lain” (Imamat 13:46). Di luar perkhemahan juga merupakan tempat membakar bangkai lembu korban (4:12). Di luar perkhemahan bukanlah tempat yang anda mahu pergi.

Kenyataan yang keras ini menonjolkan pernyataan mengenai Yesus dalam Ibrani 13: “Oleh itu, marilah kita pergi kepada-Nya di luar perkhemahan dan tanggung hinaan bersama-sama Dia” (ayat 13). Yesus disalibkan di luar gerbang Yerusalem, suatu fakta yang penting ketika kita mempelajari sistem pengorbanan Ibrani.

Kita ingin menjadi popular, dihormati dan menjalani kehidupan yang selesa. Tetapi Tuhan memanggil kita pergi ke tempat “di luar perkhemahan,” iaitu tempat yang aib. Di situlah kita akan menemui penjual yang berpenyakit Hansen. Di situlah kita akan menemui orang yang ditolak oleh dunia ini. Di situlah kita akan menemui Yesus.