The Legend of Zelda: Ocarina of Time dianggap sebagai salah satu permainan video keluaran Nintendo yang terhebat sepanjang masa, dengan mencapai jualan lebih daripada 7 juta salinan di seluruh dunia. Permainan itu juga mempopularkan okarina, alat muzik kuno yang berbentuk kentang kecil dan diperbuat daripada tanah liat.
Okarina tidak kelihatan seperti alat muzik. Tetapi apabila dimainkan dengan meniupnya dan menutup lubang-lubang di seluruh badan alat muzik yang tidak sekata, ia menghasilkan bunyi yang sangat tenang dan penuh harapan.
Pembuat okarina mengambil segumpal tanah liat, menekan dan memanaskannya, lalu membentuknya menjadi alat muzik yang menakjubkan. Proses ini memperlihatkan gambaran tentang Tuhan dan diri kita. Yesaya 64:6, 8–9 memberitahu kita, “Kami yang terbaik pun kotor dan najis … Tetapi Engkaulah Bapa kami, ya TUHAN. Kami ini seperti tanah liat, dan Engkau seperti tukang periuk … Janganlah terlalu murka.” Sebenarnya yang dimaksudkan oleh Nabi Yesaya ialah: Ya Tuhan, Engkaulah yang berkuasa. Semua orang berdosa. Bentuklah kami menjadi alat yang indah bagi-Mu.
Itulah yang dilakukan Tuhan! Dalam rahmat-Nya, Dia mengutus Anak-Nya, Yesus, untuk mati kerana dosa kita, dan sekarang Dia membentuk dan mengubah kita ketika kita berjalan bersama dengan Roh-Nya setiap hari. Seperti nafas pembuat okarina dihembuskan melalui alat tersebut untuk menghasilkan muzik yang indah, Tuhan bekerja melalui kita, iaitu alat yang dibentuk-Nya untuk menyempurnakan kehendak-Nya yang indah: semakin menyerupai Yesus (Roma 8:29).