Dahulunya, Darryl terkenal sebagai pemain besbol terhebat sehinggalah dadah hampir menghancurkan hidupnya. Tetapi Yesus membebaskannya, dan dia sudah pulih selama bertahun-tahun. Hari ini, dia menolong orang lain yang bergelut dengan ketagihan dan membawa mereka beriman kepada Tuhan. Ketika mengimbas masa lalunya, dia menegaskan bahawa Tuhan mengubah hidup yang ketagihan dadah kepada kesaksian.

Tiada yang terlalu sukar bagi Tuhan. Ketika Yesus turun dari perahu dan pergi ke tempat berdekatan perkuburan setelah malam yang beribut di Laut Galilea bersama dengan para pengikut-Nya, seorang lelaki yang dirasuk roh jahat segera menghampiri-Nya. Yesus bercakap kepada roh-roh jahat itu, mengusir mereka, dan membebaskan lelaki itu.

Semasa Yesus hendak pergi, lelaki itu memohon untuk mengikut-Nya. Tetapi Yesus tidak mengizinkannya kerana Yesus mempunyai tugas untuknya: “Pulanglah kepada keluargamu dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu” (Markus 5:19).

Kita tidak mengetahui kisah lelaki itu selanjutnya. Tetapi Alkitab menunjukkan kepada kita sesuatu yang menarik. Penduduk di wilayah tersebut dengan gementar meminta Yesus “meninggalkan daerah itu” (ayat 17). Akan tetapi pada waktu Yesus kembali ke tempat itu, ramai orang datang berkumpul untuk menemui-Nya (8:1). Adakah mungkin mereka datang kerana Yesus telah membebaskan orang yang dirasuk roh jahat itu pulang? Adakah mungkin lelaki yang dikuasai oleh roh jahat itu kemudian menjadi mubaligh pertama dan menyampaikan kuasa penyelamatan Yesus dengan efektif?

Ketika Tuhan membebaskan kita untuk melayani-Nya, Dia dapat mengubah masa lalu kita yang kucar-kacir kepada mesej yang penuh kasih dan harapan.