Pastor di sebuah kampung berasa sangat terganggu sehingga tidak dapat tidur. Ketika Perang Dunia II sedang berkecamuk, dia memberitahu sekumpulan kecil tentera Amerika bahawa mereka tidak boleh menguburkan rakan askar mereka yang terkorban di tempat perkuburan berpagar di sebelah gerejanya. Hanya anggota gereja dibenarkan untuk dikebumikan di situ. Oleh itu, mereka pun menguburkan rakan yang dikasihi mereka itu di luar pagar.

Akan tetapi, pada keesokan harinya, para tentera tidak dapat menemukan kubur itu. “Apakah yang telah berlaku? Kubur rakan kami sudah hilang!” kata seorang askar. Pastor itu menjawab, “Oh, masih ada.” Askar itu menjadi bingung, lalu pastor pun memberi penjelasan. “Aku kesal kerana tidak memberi kebenaran kelmarin. Jadi semalam, aku bangun dan memindahkan pagar.”

Tuhan juga boleh memberi kita perspektif baru ketika kita menghadapi cabaran-cabaran hidup—jika kita mencarinya. Itulah pesan nabi Yesaya kepada orang Israel yang tertindas. Mereka perlu mengalihkan pandangan agar dapat melihat Tuhan melakukan mukjizat baharu, menerobos jalan baharu, bukannya berpaling ke belakang untuk menantikan keselamatan Tuhan yang berlaku di Laut Gelagah.” Janganlah ingat-ingat hal-hal yang dahulu,” Dia menggesa mereka. “Lihat, Aku hendak membuat sesuatu yang baru” (Yesaya 43:18-19, TB). Dialah sumber harapan kita semasa kita berhadapan dengan keraguan dan pertempuran. “Aku telah membuat air memancar di padang gurun dan sungai-sungai di padang belantara, untuk memberi minum umat pilihan-Ku” (ayat 20, TB).

Apabila hidup kita diperbaharui dengan visi baru, kita juga dapat melihat arah Tuhan yang baru dalam hidup kita. Semoga kita melihat jalan baru-Nya dengan pandangan baru. Kemudian, dengan berani, kita menceburi bidang baru dan mengikut-Nya.