Saya mengenali seorang penternak yang tinggal berhampiran Lometa, Texas. Kedua-dua cucu lelakinya merupakan kawan baik saya. Kami selalu mengikutnya semasa dia pergi ke bandar untuk membeli barang dan berbual dengan kawan-kawannya. Dia tahu nama dan kisah hidup mereka. Dia akan singgah di beberapa tempat dan bertanya khabar tentang seorang anak kawan yang sakit atau seseorang yang mempunyai masalah perkahwinan, lalu memberi dorongan kepada mereka. Dia akan membacakan Alkitab dan berdoa untuk seseorang jika perlu. Saya tidak akan melupakan datuk ini. Dia seorang yang istimewa. Dia tidak memaksa sesiapa pun untuk menerima kepercayaannya, tetapi jelasnya dia telah meninggalkan kesaksian imannya kepada mereka.

Datuk kawan baik saya memiliki ciri yang disebutkan oleh Paulus, sebagai “bau harum Kristus“ (2 Korintus 2:15). Tuhan memakai dia “agar berita tentang Kristus tersebar seperti bau yang harum semerbak” (ayat 14). Meskipun dia telah kembali ke pangkuan Tuhan, bau harumnya masih terhidu di Lometa.

C. S. Lewis menulis, “Tidak ada orang biasa. Anda tidak pernah bercakap dengan manusia biasa.” Dengan kata lain, setiap manusia sanggup meninggalkan pengaruh yang kekal. Setiap hari kita mempunyai peluang untuk membawa perubahan dalam kehidupan orang-orang di sekitar kita melalui kesaksian hidup dengan sikap yang setia dan lemah lembut, atau mengucapkan kata-kata dorongan kepada jiwa yang lelah. Jangan sekali-kali meremehkan pengaruh hidup yang menyerupai Kristus kepada orang lain.