Pesawat tentera Louis Zamperini terhempas di lautan semasa perang dan mengakibatkan 8 daripada 11 lelaki terbunuh. “Louie” dan 2 orang sempat menaiki rakit kecemasan. Mereka hanyut selama 2 bulan, bertarung dengan ikan jerung, mengharungi ribut, mengelakkan peluru daripada pesawat musuh, menangkap serta makan ikan dan burung mentah. Mereka akhirnya terdampar ke sebuah pulau dan segera ditangkap. Selama 2 tahun Louie dipukul, diseksa dan diperlakukan sebagai tawanan perang dengan kejam. Kisahnya yang luar biasa diceritakan dalam buku bertajuk Unbroken (Teguh Hati).

Yeremia merupakan salah seorang peribadi yang tabah dalam Alkitab. Dia menghadapi komplot musuh (Yeremia 11:18), dipukul dan dirantai (20:2), dicambuk dan ditahan di penjara bawah tanah (37:15-16), serta diturunkan dengan tali ke dalam perigi berlumpur yang dalam (38:6). Dia selamat kerana Tuhan berjanji untuk menyertai dan melindunginya (1:8). Tuhan membuat janji yang serupa kepada kita: “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu” (Ibrani 13:5). Tuhan tidak berjanji bahawa Yeremia atau kita akan bebas daripada masalah, tetapi Dia berjanji untuk menolong kita mengharungi kesukaran.

Louie sendiri telah mengalami perlindungan Tuhan, dan selepas perang dia menyerahkan hidupnya kepada Yesus. Dia mengampuni orang-orang yang telah menawannya, dan memimpin beberapa orang antara mereka percaya kepada Kristus. Louie menyedari bahawa walaupun kita tidak dapat mengelakkan semua masalah, kita tidak perlu menanggungnya sendirian. Apabila kita menghadapinya bersama dengan Yesus, kita menjadi lebih teguh.