Zakheus adalah seorang lelaki yang kesepian. Ketika berjalan di lorong-lorong kota, dia menyedari ramai orang memusuhinya. Tetapi, kemudian hidupnya berubah. Klemens dari Alexandria, salah seorang bapa gereja zaman awal, mengatakan bahawa Zakheus menjadi pemimpin Kristian yang penting dan pastor gereja di Kaisarea. Inilah Zakheus, ketua pemungut cukai yang dahulunya memanjat pokok ara untuk melihat Yesus (Lukas 19:1-10).

Apakah yang mendorongnya memanjat pokok? Para pemungut cukai dianggap sebagai pengkhianat kerana mereka mengenakan cukai yang membebankan rakyat untuk Empayar Roma. Tetapi Yesus menerima mereka. Zakheus mungkin tertanya-tanya, adakah Yesus juga akan menerimanya. Disebabkan badannya pendek (ayat 3) dan orang ramai menghalang pandangannya, maka dia memanjat pokok untuk mencari Yesus.

Yesus juga mencari Zakheus. Ketika Kristus datang kepada Zakheus yang berada di atas pokok, Dia memandang ke atas dan berkata, “Zakheus, turunlah segera! Hari ini Aku mesti menumpang di rumahmu” (ayat 5). Yesus menganggap itu amat penting bahawa Dia menjadi tetamu di rumah Zakheus, seseorang yang dipulaukan. Bayangkan! Penyelamat dunia meluangkan masa bersama dengan orang yang ditolak oleh masyarakat.

Kita boleh memiliki harapan, seperti Zakheus, sama ada hati, hubungan atau kehidupan kita perlu dipulihkan. Yesus tidak akan menolak kita apabila kita datang kepada-Nya. Dia dapat memulihkan apa yang telah hilang dan hancur, serta memberikan makna dan tujuan baharu dalam hidup kita.