Zakheus adalah seorang lelaki yang kesepian. Ketika berjalan di lorong-lorong kota, dia menyedari ramai orang memusuhinya. Tetapi, kemudian hidupnya berubah. Klemens dari Alexandria, salah seorang bapa gereja zaman awal, mengatakan bahawa Zakheus menjadi pemimpin Kristian yang penting dan pastor gereja di Kaisarea. Inilah Zakheus, ketua pemungut cukai yang dahulunya memanjat pokok ara untuk melihat Yesus (Lukas 19:1-10).
Apakah yang mendorongnya memanjat pokok? Para pemungut cukai dianggap sebagai pengkhianat kerana mereka mengenakan cukai yang membebankan rakyat untuk Empayar Roma. Tetapi Yesus menerima mereka. Zakheus mungkin tertanya-tanya, adakah Yesus juga akan menerimanya. Disebabkan badannya pendek (ayat 3) dan orang ramai menghalang pandangannya, maka dia memanjat pokok untuk mencari Yesus.
Yesus juga mencari Zakheus. Ketika Kristus datang kepada Zakheus yang berada di atas pokok, Dia memandang ke atas dan berkata, “Zakheus, turunlah segera! Hari ini Aku mesti menumpang di rumahmu” (ayat 5). Yesus menganggap itu amat penting bahawa Dia menjadi tetamu di rumah Zakheus, seseorang yang dipulaukan. Bayangkan! Penyelamat dunia meluangkan masa bersama dengan orang yang ditolak oleh masyarakat.
Kita boleh memiliki harapan, seperti Zakheus, sama ada hati, hubungan atau kehidupan kita perlu dipulihkan. Yesus tidak akan menolak kita apabila kita datang kepada-Nya. Dia dapat memulihkan apa yang telah hilang dan hancur, serta memberikan makna dan tujuan baharu dalam hidup kita.
ILHAM
Pemungut cukai terkenal kerana memeras wang daripada orang lain. Kedudukan mereka membuatkannya mudah untuk memenjarakan orang lain dengan tuduhan palsu, jadi rakyat tidak mempunyai pilihan, melainkan bekerjasama. Sesetengah orang bahkan memberikan rasuah kepada pemungut cukai untuk mengelakkan bayaran yang lebih tinggi.Mungkin Zakheus yang kaya itu berasa salah terhadap perbuatan ini, dia kelihatan mengakui kesalahannya dengan kata-kata dalam Lukas 19:8 (“sesiapa sahaja yang pernah saya tipu”). Tetapi kerelaan Yesus untuk menjadi tetamu Zakheus segera menggerakkan pertaubatan Zakheus, yang berjanji untuk memberikan separuh hartanya kepada orang miskin dan membayar kembali 4 kali ganda kepada sesiapa yang telah ditipunya. Membayar “empat kali ganda” (ayat 8) mungkin merujuk kepada hukum Perjanjian Lama mengenai bayaran ganti rugi (lihat Keluaran 22). Kata-kata Zakheus menunjukkan bahawa dia mengakui perbuatannya ialah pencurian yang memerlukan ganti rugi tambahan.