Dalam pertandingan besbol tahun 2018, jurulatih bagi Pasukan Chicago Cubs ingin memberikan bola besbol kepada seorang budak lelaki yang duduk di tepi ruang rehat pemain. Tetapi ketika jurulatih itu melemparkan bola ke arahnya, seorang lelaki pula menangkap bola tersebut. Video peristiwa ini telah menjadi viral. Saluran berita dan media sosial menuduh lelaki itu “kasar.” Padahal para penonton tidak mengetahui keseluruhan cerita. Sebelumnya, lelaki itu telah menolong budak tersebut menangkap bola faul; dan mereka bersetuju untuk berkongsi sebarang bola tambahan yang mungkin akan dilemparkan ke arah mereka. Malangnya, tuduhan palsu itu tersebar selama 24 jam sebelum kisah sebenarnya didedahkan. Orang ramai telah memfitnah lelaki yang tidak bersalah itu.
Kita sering berfikir bahawa kita mempunyai semua fakta padahal kita hanya ada serpihannya. Dalam budaya moden kita yang suka menghakimi orang (budaya gotcha), dengan potongan video dramatik dan mesej Tweeter yang menghasut, kita memang mudah mengutuk orang tanpa mendengar cerita penuh. Tetapi Alkitab mengingatkan kita “Jangan sebarkan berita dusta” (Keluaran 23:1). Kita perlu mengesahkan kebenaran sebelum melontarkan tuduhan dan memastikan diri tidak ikut serta dalam pembohongan. Kita harus berwaspada supaya tidak terpengaruh oleh semangat menghakimi yang semakin membara. Kita perlu melindungi diri daripada “terikut-ikut kebanyakan orang apabila mereka melakukan kejahatan” (ayat 2).
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, semoga Tuhan menolong kita agar tidak menyebarkan berita palsu. Semoga Dia memberi kita kebijaksanaan, serta memastikan kata-kata kita adalah benar.