Ketika terbaca ayat “Tetapi bagi kamu yang takut kepada nama-Ku, … Sebagaimana anak lembu dari kandangnya, kamu akan keluar sambil melompat-lompat” (Maleakhi 4:2, AVB), Jim, seorang petani generasi ke-3, amat terharu sehingga dia berdoa untuk menerima kehidupan kekal yang ditawarkan Yesus. Dia teringat akan anak-anak lembunya yang melompat-lompat kegembiraan setelah keluar dari kandang pengurungan. Jim akhirnya memahami janji Tuhan tentang kebebasan sejati.
Anak perempuan Jim memberitahu saya kisah ini semasa kami membincangkan gambaran dalam Maleakhi 4, nabi membuat perbezaan antara mereka yang takut kepada nama Tuhan atau tetap setia kepada-Nya, dan mereka yang hanya mempercayai diri sendiri (4:1–2, AVB). Nabi menggesa orang Israel terus teguh mengikut Tuhan dan tetap setia kepada-Nya kerana ketika itu ramai orang termasuk para pemimpin agama mengabaikan Tuhan dan piawaian-Nya tentang hidup yang setia (1:12–14; 3:5–9). Maleakhi menegaskan hal ini kerana pada masa akan datang Tuhan akan membuat pemisahan terakhir antara kedua-dua kumpulan tersebut. Dalam konteks ini, Maleakhi menggunakan gambaran seekor anak lembu yang melompat-lompat untuk menggambarkan kegembiraan yang tidak terungkap yang akan dialami oleh kumpulan yang setia ketika “matahari yang penuh perbenaran akan terbit dengan membawa kesembuhan pada sayapnya” (4:2, AVB).
Yesus sendiri yang menggenapi janji ini, Dia membawa berita baik bahawa kebebasan sejati tersedia untuk semua orang (Lukas 4:16–21). Suatu hari nanti, kita akan mengalami kebebasan ini sepenuhnya dalam ciptaan Tuhan yang diperbaharui dan dipulihkan. Di sana akan ada kegembiraan yang tidak terbayangkan!