Setiap petang Jumaat, keluarga saya menonton berita nasional yang berakhir dengan kisah yang menggembirakan. Berita ini selalu menarik dan berbeza dengan berita yang lain. Kisah baru-baru ini memfokuskan seorang wartawan yang sembuh sepenuhnya daripada COVID-19, dan dia memutuskan untuk menderma plasmanya bagi membantu orang lain yang sedang berjuang menghadapi virus tersebut. Pada masa itu, masih belum ada bukti yang mengesahkan keberkesanan antibodi. Tetapi memandangkan ramai antara kita berasa tidak berdaya, bahkan takut untuk menderma plasma (melalui jarum), dia berasa sumbangannya hanyalah “pengorbanan yang kecil berbanding dengan hasil yang mungkin mendatang.”

Selepas siaran Jumaat itu, saya dan keluarga berasa terdorong, bahkan dipenuhi harapan. Itulah kuasa tentang “perkara-perkara” yang dijelaskan oleh Paulus dalam Filipi 4: “ perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat” (ayat 8). Adakah Paulus menyebut tindakan seperti pendermaan plasma? Sudah tentu tidak. Adakah dia berfikir tentang tindakan pengorbanan bagi seseorang yang memerlukan bantuan— dengan kata lain, perilaku seperti Kristus? Saya pasti jawapannya adalah “ya”.

Tetapi berita yang memberi harapan itu tidak akan berkesan atau berpengaruh sepenuhnya jika tidak disiarkan. Inilah keistimewaan kita sebagai saksi kebaikan Tuhan—melihat dan mendengar “perkara-perkara” di sekeliling kita, kemudian menyampaikan berita baik itu kepada orang lain supaya mereka dapat didorong.