Sierra berasa sangat sedih dan tertekan kerana anak lelakinya bergelut dengan masalah ketagihan. “Aku rasa bersalah,” katanya. “Adakah Tuhan menganggap aku tidak beriman kerana tidak dapat berhenti menangis ketika berdoa?”

Saya cuma mampu berkata, “Aku tidak tahu fikiran Tuhan. Tetapi aku tahu Dia dapat memahami emosi sebenar kita. Tuhan kita Maha Tahu, bukan?” Saya berdoa dan menitiskan air mata bersama dengan Sierra ketika kami berdoa memohon supaya anaknya dibebaskan daripada ketagihan.

Alkitab mengandungi banyak contoh tentang orang yang bergomol dengan Tuhan sementara dalam pergelutan. Penulis Mazmur 42 menyatakan kerinduannya yang mendalam untuk mengalami damai dalam hadirat Tuhan yang nyata dan berkuasa. Dia mengakui kesedihan dan kemurungan yang diharunginya dengan air mata. Akan tetapi ketika dia mengingatkan dirinya tentang kesetiaan Tuhan, kemelut jiwanya menjadi surut dan pujian kepada Tuhan mula mengalir dari hatinya. Pemazmur memberi semangat kepada “jiwanya,” dia menulis, “Aku akan berharap kepada Allah, dan sekali lagi aku akan memuji Dia, Allahku dan penyelamatku” (ayat 12). Dia berbolak-balik antara apa yang diketahuinya benar tentang Tuhan serta realiti emosinya yang amat tertekan dan tidak dapat dinafikan.

Tuhan mencipta kita menurut gambaran-Nya dan memberi kita emosi. Air mata kita untuk orang lain mengungkapkan kasih dan belas kasihan yang dalam, ini tidak semestinya bermaksud kita kekurangan iman. Kita dapat menghampiri Tuhan dengan luka yang parah atau parut lama kerana Dia memahami perasaan kita. Sama ada kita berdoa dengan senyap, menangis, atau menjerit dengan yakin, ini menunjukkan kepercayaan kita kepada Tuhan yang berjanji untuk mendengar dan menjaga kita.