Jam menunjukkan 1:55 pagi. Saya tidak dapat tidur lena kerana terganggu oleh satu mesej perbualan di telefon pada larut malam. Saya menyingkapkan selimut yang telah membalut diri dengan ketat dan beralih dengan senyap ke sofa. Saya melayari Google tentang apa yang harus dilakukan supaya dapat tidur, sebaliknya saya mendapati saya telah melakukan semua yang tidak patut: jangan tidur siang, minum kafein atau bersenam terlalu lewat. Ketika saya membaca lebih lanjut di tablet, saya juga dinasihati supaya tidak menggunakan peranti pintar (masa skrin) pada lewat malam. Alamak. Perbuatan menghantar mesej pada lewat malam bukannya idea yang baik. Jika ingin berehat dengan baik, terdapat senarai perkara yang tidak boleh dilakukan.

Dalam Perjanjian Lama, Tuhan menetapkan peraturan mengenai apa yang tidak boleh dilakukan pada hari Sabat untuk menikmati rehat. Dalam Perjanjian Baru, Yesus menawarkan cara baharu. Dia tidak menekankan peraturan, melainkan memanggil pengikut-pengikut-Nya membina hubungan dengan-Nya. “Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu” (Matius 11:28). Dalam ayat sebelumnya, Yesus menunjukkan kesatuan-Nya yang berterusan dengan Bapa-Nya—Dia yang telah dinyatakan oleh Yesus kepada kita. Seperti Yesus, kita juga dapat mengalami pertolongan berterusan daripada Tuhan Bapa.

Kita mungkin bijak untuk menghindari hiburan tertentu yang boleh mengganggu tidur, tetapi hubungan kita dengan Tuhan, bukannya peraturan, membolehkan kita berehat dengan baik dalam Kristus. Saya berhenti melayari Internet, dan berbaring di atas katil sambil menyerahkan hati saya yang penuh beban kepada Yesus yang berkata: “Marilah kepada-Ku …”