Suatu hari, saya duduk di medan selera sebuah pusat membeli-belah, badan saya terasa tegang dan kejang perut kerana bimbang dengan tarikh akhir bagi pelbagai tugasan. Semasa saya membuka bungkusan burger dan mula makan, saya memerhatikan orang ramai di sekeliling saya yang bergegas dan risau akan tugasan masing-masing. Saya berkata pada diri sendiri, betapa terbatasnya kita, dari segi masa, tenaga dan kemampuan.

Saya terfikir untuk menyenaraikan tugasan baharu dan mengutamakan tugasan-tugasan yang perlu segera disiapkan. Tetapi ketika saya mengeluarkan pen, perkara lain terlintas dalam fikiran saya: Tuhan tidak terbatas, Dia menyelesaikan semua yang dikehendaki-Nya dengan mudah.

Menurut Yesaya, Tuhan dapat menyukat lautan dengan lekuk tangan-Nya dan “menyukat tanah bumi ini dengan cawan” (Yesaya 40:12). Dia menamakan setiap bintang di langit dan mengarahkan laluannya (ayat 26), mengetahui para pemerintah di dunia dan mengawasi pekerjaan mereka (ayat 23), menganggap pulau-pulau hanya debu halus dan “bangsa-bangsa seperti setitis air dalam timba” (ayat 15). “Dengan siapakah dapat kamu samakan Allah Yang Maha Suci?” Dia bertanya (ayat 25). “TUHAN ialah Allah yang kekal,” jawab Yesaya. “Dialah yang menciptakan seluruh bumi. Dia tidak pernah letih atau lesu” (ayat 28).

Tekanan tidak baik untuk kita, tetapi ia memberi pelajaran penting pada hari ini. Tuhan kita tidak terbatas, bukan seperti saya. Dia melakukan semua yang dikehendaki-Nya. Saya menghabiskan burger saya, lalu berhenti sejenak dan menyembah Tuhan dengan senyap.